Perkembangan moden Kejuruteraan_elektrik

Semasa perkembangan radio, ramai ahli sains dan pencipta telah menyumbang kepada teknologi radio dan elektronik. Dalam uji kaji frekuensi ultratinggi Heinrich Hertz pada 1888, beliau telah menghantar dan menerima gelombang radio menggunakan alatan elektrik. Pada 1895, Nikola Tesla telah mengesan isyarat yang dihantar dari makmal beliau di West Point, New York (jarak 80.4 km). Pada 1897, Karl Ferdinand Braun telah menggunakan sinar katod sebagai bahagian osiloskop, sesuatu teknologi yang penting dalam penciptaan televisyen elektronik. John Fleming pula mencipta diod pada 1904. Dua tahun kemudian, Robert von Lieben dan Lee De Forest telah mencipta triod. Pada 1920, Albert Hull telah mencipta magnetron yang kemudiannya digunakan dalam penciptaan ketuhar mikrogelombang pada 1941. Pada 1934, tentera British mula memanfaatkan teknologi radar.

Pada 1941, Konrad Zuse telah membina Z3, komputer berfungsi serta boleh diatur cara pertama di dunia. ENIAC dicipta pada 1946 dan mencetuskan era komputer. Kebolehan mesin ini telah membolehkan manusia menjalankan penjelajahan angkasa lepas.

Penciptaan transistor pada 1947 membawa kepada penciptaan litar bersepadu pada 1958. Penciptaan mikropemproses pada 1968 oleh Intel telah melahirkan komputer peribadi.